Muawiyah bin Abi Sufyan (w 60H /680M)

  • Muawiyah bin Abi Sufyan (w 60H /680M)

Beliau ialah Mu'awiyah bin Abi Sufyan Sakhr bin Harb bin Umaiyyah bin Abd Shams bin Abd Manaf bin Qusai al-Qurashi al-Umawi. Beliau dikuniahkan dengan panggilan Abu Abd al-Rahman. Ibunya bernama Hind bint 'Utbah bin Rabi'ah bin Abd Shams. (Ibn al-Athir 5:209, al-Nawawi 2:102)

Beliau menganut agama Islam bersama-sama keluarganya pada tahun pembukaan Kota Mekah. Beliau dikatakan sempat berperang bersama-sama baginda di dalam peperangan Hunain. Sebagai ganjaran kepada penglibatannya, baginda saw telah memberikannya rampasan perang sebanyak 100 ekor unta.Beliau telah berkhidmat sebagai penulis baginda saw. Pada masa pemerintahan Abu Bakar, beliau telah dilantik menjadi Gabenor Sham sesudah wafat saudaranya Yazid. Kedudukan beliau dikekalkan apabila Umar mengambil alih pemerintahan Islam.

Apabila Umar dibunuh, kedudukan beliau sebagai Gabenor Sham dikekalkan oleh Uthman yang dilantik menggantikan Umar. Kedudukan beliau sebagai Gabenor Sham berlanjutan sehingga kepada zaman pemerintahan Ali. Selepas Uthman dibunuh, tindakan beliau yang enggan memberi bai'ah kepada Ali telah menyebabkan berlakunya peperangan Siffin atas atas alasan menuntut bela kerana kematian Uthman.Apabila Ali dibunuh, puteranya al-Hasan dilantik menjadi khalifah. Pada saat itu Muawiyah yang kekal sebagai pemerintah Sham masih enggan memberi bai'ah kepada al-Hasan.

Untuk mengelakkan dari berlaku pertumpahan darah diantara orang-orang Islam, al-Hasan bersetuju menyerahkan kuasa pemerintahan kepada Muawiyah, tertakluk kepada beberapa syarat perdamaian yang dipersetujui. Dengan itu beliau dengan rasminya menjadi khalifah negara Islam. Pemerintahan beliau berlanjutan selama 20 tahun kemudian. (Ibn al-Athir 5:211)Beliau sempat meriwayat dari baginda saw sebanyak 130 buah hadith. Ramai diantara sahabat yang menerima periwayatan beliau, seperti Ibn Abbas, Ibn Umar, Ibn al-Zubair, Abu al-Darda', dan al-Nu'man bin Bashir. Dikalangan tabi'in pula ialah Ibn al-Musaiyyib, Abu Salamah, Humaid, Urwah, Salim, Alqamah bin Waqqas, Ibn Sirin, dan lain-lain. (Ibn al-Athir 5:212; al-Nawawi 2:103)

Kehebatan beliau sebagai ilmuan telah diakui sendiri oleh Ibn Abbas dengan kata-katanya: "Muawiyah adalah seorang faqih". Umar pula menyifatkannya sebagai Kaisar Bangsa Arab. (Ibn al-Athir 2:210). Pendapat beliau berkaitan dengan persoalan hukum disebut di dalam kitab-kitab muktabar Mazhab. (al-Nawawi 2:102) . Beliau wafat ketika berumur 82 tahun (menurut pendapat yang terkuat) iaitu pada tahun 60H. (al-Nawawi 2:103; Ibn Hibban :50)


Labels : news investment systems Anti Vir free template car body design